TOMBIRUO BERJAYA ATAU GAGAL ? bagi pendapat saya.. selamat membaca
Pendapat saya tentang filem TOMBIRUO ini sebagai anak jati sabah, sebenarnya saya berbangga kerana pemaparan adat dan tradisi suku kaum dusun disabah di bawa ke layar perak , akan tetapi saya hendak mengulas sedikit berkaitan filem ini....semoga bermanfaat.
Tujuan saya mengulas ini bukanlah untuk mengatakan filem ini tidak berkualiti, ia tetap berkualiti tetapi ada sedikit sahaja perlakuan yang berbeza.....selamat membaca.
Tombiruo:
Gagal Mencitrakan Sosiobudaya Pribumi Sabah?
Saya
menonton Tombiruo minggu lepas. Sebagai filem produk tempatan, saya rasa ada
aspek tertentu yang boleh dibanggakan. Sinematografi memang ada kelas. Berjaya
menampilkan karisma Sabah sebagai syurga alam semulajadi.
Adegan
aksi juga amat memikat. Pertarungan fizikal diberi tata-gerak yang rapi, serta
dirakam dari sudut lensa yang tepat. Sungguh dramatik, lagi menguja perasaan.
Apatah lagi dengan ekspresi runut bunyi yang begitu berkesan.
Elemen
teknikal filem ini memang wajar dipuji. Susah mau disangkal. Sayang sekali,
inti pengisian karya ini – yang merupakan jiwa sebenar sesuatu produksi seni –
tidak seimbang dengan keanggunan pesona teknikal.
Mungkin
saya agak kritikal, kerana saya tidak hanya melihat kemenjadian karya ini dari
kacamata seorang penggemar filem dan penggila pop semata-mata. Tetapi juga dari
kacahati seorang pribumi Sabah, anak jati Momogun Dusun – yang menjadi latar
sosiobudaya utama filem ini.
Komuniti
Momogun memang intim dengan alam. Tanah dan belantara adalah warisan asli yang
mendasari tradisi dan survival mereka. Justeru, konflik pemilikan tanah adat
memang kerap berlaku (misalnya, kes kontroversi Empangan Kaiduan suatu ketika
dulu, yang akhirnya dibatalkan).
Ya,
karya ini sebenarnya mengadun tema penting yang sangat relevan dan
kontemporari. Ia menggarap isu pergelutan komuniti marginal, dalam arus
modenisasi yang deras. Ini
bukan
satu isu enteng. Ini satu realiti yang pernah (dan masih) berkudis di Sabah.
Fokus
naratif filem ini berkisar pada Tombiruo si penunggu rimba, yang menggalas
kisah silam penuh misteri. Betul, ini watak fiksi. Namun plot dan perwatakan
dioperasikan atas domain sosiobudaya dan lanskap geografi yang realistik, iaitu
komuniti Dusun Keningau. Persoalannya: dapatkah roh pribumi Sabah ini
dicitrakan secara munasabah?
Saya
fikir tidak. Biar saya hujahkan kenapa. Mari kita bermula dengan beberapa
khilaf faktual.
Pertama,
tentang watak ‘Bobolian’ yang digambarkan seperti wanita tua, yang hidup
sendiri
jauh
dari perkampungan. Malah, kadang-kadang kenampakan seperti tukang sihir yang
menakutkan. Ini kegagalan paling ketara.
Bobolian
adalah figura terhormat bagi rumpun Momogun. Mereka mendokong peranan selaku
ketua spiritual tertinggi masyarakat. Penampilan mereka mungkin agak klasik dan
tradisional. Tetapi bukan seperti nenek kebayan yang tidak terurus, apatah lagi
meminggir diri di hutan rimba!
Saya
fikir watak Bobolian ini saja-saja diwujudkan dengan tujuan mahu memberi elemen
‘Dusun’ kepada filem ini. Malangnya, ia dibuat secara rambang dan semberono,
tanpa memahami apakah konteks sebenar institusi bobolian. Ya, filem ini tidak
berjaya mendidik penonton memahami salah satu tradisi penting rumpun Momogun,
khususnya etnik Kadazandusun. Bahkan, ia memberi gambaran yang terpesong
Ungkapan
kata-kata lisan yang membuka intro filem ini pun ada isu. Ia disampaikan dalam
Bahasa Dusun dengan dialek bercampur baur. Ada dialek Tangara pada permulaan,
yang merupakan bahasa pertuturan komuniti Momogun hilir, di sekitar Penampang.
Kemudian disusul dalam dialek Liwan. Ini loghat komuniti Momogun hulu, di
sekitar Keningau dan Tambunan.
Kecacamarbaan
ini agak pelik, dan mengundang pertanyaan: kenapa? Adakah Tombiruo bercinta
dengan sumandak hilir? Adakah ibu dan bapa Tombiruo datang dari komuniti silang
Momogun hilir dan hulu? Sampai tamat tiada sebarang hint atau jawapan diberi
kepada persoalan-persoalan ini. Maka saya anggap itu sebagai khilaf faktual.
Mungkin tenaga produksi tidak memahami kepelbagaian dialek Momogun, yang setiap
satunya unik kepada sub-etnik tertentu dalam lingkungan geografi spesifik.
Bahasa
Dusun yang ditutur oleh watak Bobolian juga agak keras. Komuniti Liwan Keningau
terkenal dengan dialek yang halus beralun-alun. Bukan ditutur dengan nada
‘sebiji lepas sebiji’. Kedengaran agak janggal. Tapi kemuncak isu bahasa ini
timbul ketika ‘rinait’ (mantera) berkumandang dalam babak pertarungan akhir
(semasa Tombiruo dan Amir berganding melawan musuh).
Suara
sangat datar tanpa irama. Seakan-akan seorang penyajak amatur sedang membaca
teks tanpa perasaan. Sedangkan ‘rinait’ ini sepatutnya dilafaz dengan penuh
muzikal, ada ragam pitching suara yang tersendiri. Bukan nada bersahaja ala
biasa-biasa, seperti sedang bergossip dengan jiran tetangga.
Khilaf
faktual yang kedua, dari segi latar geografi. Tombiruo digambarkan sebagai
penunggu rimba Keningau, yang merupakan
sebahagian hutan dara Banjaran Crocker. Tapi yang nampak rimba, cuma kawasan
persekitaran apabila kamera dihala pada pondok Tombiruo di atas pokok.
Bila
turun saja ke tanah, tiba-tiba rimba bertukar jadi belukar. Terdapat perbezaan
signifikan di antara hutan primer dan hutan sekunder, yang tidak boleh
diremeh-remehkan. Apatah lagi dengan reputasi Banjaran Crocker sebagai antara
hutan hujan Khatulistiwa tertua dan paling kaya diversiti di dunia.
Saya
bukan mencadangkan penggambaran dibuat betul-betul di tengah jantung rimba,
yang menawarkan lapis-lapis tumbuhan dan kanopi vegetasi dengan kualiti hutan
dara sebenar. BUKAN. Memang ini tidak praktikal.
Tapi
saya fikir ‘persekitaran’ begitu boleh disimulasi guna teknik animasi tertentu.
Agar dapat memberi aura rimba yang sebenar, dan bukan sekadar rimba
jadi-jadian. Kalau tidak, tajuknya kena tukar: Tombiruo Penunggu Belukar.
Dari
pondok Tombiruo di Keningau, boleh nampak Aki Nabalu berbalam-balam dari jauh.
Cantik. Saya tidak pasti, bolehkah nampak gunung ini dari Keningau? Barangkali
tidak, sebab terlalu jauh. Tapi tidak apa, saya boleh terima simulasi
sinematografi ini untuk memberi satu nilai-tambah estetik pada filem. Tapi
alang-alang mau buat simulasi, buatlah berdasarkan fakta geografi.
Paparan
Aki Nabalu dalam filem itu dilihat dari sudut pandang yang sedikit ke arah
barat laut (Tuaran). Sedangkan lokasi sebenar Keningau, relatif kepada
kedudukan Gunung Kinabalu, adalah cenderung ke barat daya. Jadi bentuk Aki
Nabalu sepatutnya bukan begitu. Bahkan, satah pandangan 'imageri’ (dibayangkan
saja) dari Keningau sebetulnya jauh
lebih
memukau. Kerana pundak Low’s Peak akan dilihat penuh pada arah depan, bukan
sipi-sipi dari sudut tepi.
Semasa
Tombiruo (yang masih bayi) dihanyutkan ke sungai, ada ditunjuk satu visual air
terjun yang lebar dan tinggi. Wow, sungguh teruja. Kawan saya siap cakap: “Erk,
nanti kalau saya ke Sabah, kau bawa ke sana ya.” Sebenarnya air terjun super
gadang itu hanya fantasi. Tidak wujud pun di Keningau, atau mana-mana tempat
lain di Sabah.
Sebagai
filem yang bersandar pada lokaliti realistik, jungkirbalik fakta seperti itu
patut dielakkan. Dari segi prinsip perfileman, memang tidak salah. Sebab ini
genre fiksyen. Tapi karyawan yang benar-benar bagus dan teliti, akan berusaha
mengekalkan nilai autentik citra tempatan di mana sesuatu cerita itu diolah.
Saya fikir, kepersisan begini boleh menyuntik elemen organik yang lebih tulen
pada karya yang ditukangi.
Selain
khilaf faktual, saya juga kurang terbujuk dengan lakonan. Tidaklah buruk,
tetapi secara keseluruhan terumbang-ambing pada paras sederhana. Yang saya rasa
kuat, cuma watak bapa Tombiruo (Faizal Hussein) dan Wan Suraya si jurnalis
gedik. Yang lain, semuanya kurang menyerlah.
Banyak
dialog yang agak 'corny' dan tidak natural. Ala-ala cerekarama menjelang
maghrib tahun 1980an. Marlia Musa paling mengecewakan. Scene dia sikit saja,
tapi penting dari segi aliran emotif filem. Sebab dia menautkan naratif konflik
keluarga yang menjadi titik fokal filem ini.
Tapi
alahai. Cara dia menjiwai watak tak cukup natural. Masa suaminya (M. Nasir)
mahu pergi ke tempat kampung yang diserang, Marlia acah-acah menghalang. Sangatlah
deja vu drama pentas zaman universiti dulu! Macam tak ada
chemistry,
padahal mereka memang pun suami-isteri sebenar di luar filem.
Watak
Amir lagi pelik. Macam celaru identiti pula. Sekejap loghat Sabah, banyak kejap
loghat KL. Saya pun keliru, watak dia dalam filem ini sebagai apa: orang Sabah
atau Semenanjung? Saya fikir dia mungkin orang KL yang berhijrah ke Sabah. Tapi
pada hujung cerita, rahsia terbongkar bahawa dia sebenarnya kembar si Tombiruo.
Maksudnya orang Sabah laitu, kan? Fuh, saya tiba-tiba rasa mau tikam-tikam
perut sendiri.
Walaupun
ini cuma filem fiksyen, elemen latar sepatutnya tidak diremehkan. Citra
sosiobudaya dan lokaliti adalah isu yang dekat di hati masyarakat pemiliknya.
Mahu tidak mahu, ada sensitiviti yang perlu dijaga.
Kehadiran
sebuah filem Malaysia dengan magnitud box-office begini, tentu sekali
membanggakan saya sebagai anak Momogun Sabah. Tapi tersedik jua di hati nurani,
saya mengharap citra tempatan yang telah diarusperdanakan dalam filem ini dapat
dipapar se-realistik yang mungkin. Itu harapan sajalah, kan.
Tiada
yang sempurna, dan saya tidak mengharapkan kesempurnaan nan padu. Menterjemah
citra sosiobudaya dan geografi dalam sebuah filem (yang relatifnya 'pendek'
lagi terbatas berbanding karya persuratan) -- tidaklah mudah. Ya, saya tahu.
Tapi
saya fikir, seni filem mesti dinilai secara holistik. Bukan saja pada merit
artistik dan teknikal; tetapi juga merit sosiobudaya. Barulah tepat aspirasi:
filem kita, WAJAH kita!
Kalau
kita sanggup melabur kapital, tenaga pakar, teknologi dan fasiliti untuk
menghasilkan impak visual dan audio yang memukau -- kenapa tidak ada pelaburan
yang sama untuk memperhalusi citra pribumi yang melatari naratif filem? Semua
yang saya sebut dalam komen ini bukan susah sangat pun. Cuma barangkali, ia
tidak diberi prioriti penting semasa proses pembikinan. Bukan terlepas pandang,
tapi dilepas pandang.
All
being said....
....secara
jujur, saya tetap rasa bertuah dapat menonton filem ini di pawagam. Ya, ada
nilai istimewa tersendiri; terutama garapan teknikal i.e runut bunyi, seni
arahan sinematografi dan koreografi aksi lasak.
Pelaburan
tiket masih berbaloi, kerana filem ini ada menawarkan sejemput katarsis emosi
dan gratifikasi jiwa. Meskipun rasa itu tidak sampai ke tahap klimaks. Ibarat
kata orang, bagai berjimak hingga ngilu, tapi tak inzal. Nikmat ada, cuma tak
puas.
Comments
Post a Comment